Saturday 12 April 2014

PROSEDUR MENDAPATKAN SIJIL HALAL




Proses dan Prosedur Produk Makanan Halal di Malaysia

Sijil Pengesahan halal dan Logo adalah merupakan suatu pengiktirafan yang menunjukkan kehalalan sesuatu hasil makanan, minuman dan bahan gunaan orang Islam berasaskan kepada hukum Syarak yang diamalkan dalam negeri ini. Ini bertujuan untuk mengatasi kekeliruan dan keraguan yang timbul dikalangan pengguna Islam berkaitan dengan kehalalan atau kesucian sesuatu makanan, minuman dan bahan gunaan yang dikeluarkan dalam negeri ini.Ia perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam Garis Panduan Premis yang membuat penyediaan / pemprosesan / masakan makanan, minuman dan bahan gunaan orang Islam yang diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing. Semua pengusaha makanan,bahan gunaan dan pihak yang berkaitan yang dapat memenuhi kriteria-kriteria halal yang telah ditetapkan dalam " Garis Panduan" berkenaan layak untuk memohon Sijil Pengesahan Halal dan Logo Halal. Secara umumnya, JAKIM merupakan badan yang telah menyediakan garis panduan produk halal secara komperehensif. Garis panduan ini merangkumi prosedur pemeriksaan, pengesahan dan permohonan sijil halal, kelulusan, syarat-syarat, pemantauan dan penguatkuasaan.





Prosedur Pemeriksaan Halal Premis Makanan di Malaysia

Pemeriksaan akan dilakukan setelah permohonan memenuhi semua syarat yang ditetapkan dan bayaran caj perkhidmatan dilaksanakan. Bagi prosedur pemeriksaan awal ke atas kilang pengeluar premis makanan, pemeriksaan akan dilakukan oleh sekurang-kurangnya dua orang pegawai iaitu Pegawai Hal Ehwal Islam dan Pegawai Teknikal (Pegawai Teknologi Makanan) manakala pemeriksaan bagi rumah sembelih pula boleh dilakukan oleh sekurang-kurangnya seorang Pegawai Hal Ehwal Islam dan seorang Pegawai Teknikal. Di antara skop pemeriksaan yang dibuat ialah dokumentasi, pemerosesan, pengendalian dan pengedaran makanan, peralatan, perkakasan, mesin dan bahan bantuan pemerosesan, penyimpanan, peragaan dan penyajian makanan, kebersihan, sanitasi dan keselamatan makanan, pembungkusan dan pelabelan dan keseluruhan premis. Pemeriksaan semula  akan dilakukan jika terdapat perubahan-perubahan, seperti penambahan atau perubahan bahan-bahan ramuan, premis seperti perpindahan premis atau perubahan teknologi pemerosesan dan pengeluaran. Pemeriksaan semula ini dilakukan untuk memastikan tindakan pembetulan yang dikehendaki telah dipatuhi. Laporan pemeriksaandi atas akan dikemukakan dalam Mesyuarat Panel Pengesahan Halal dan panel menolak atau meluluskan mana- mana permohonan.



Prosedur Permohonan Sijil Pengesahan Halal
Sijil Pengesahan Halal bagi makanan dan rumah sembelih yang dikeluarkan atau dikilangkan di Malaysia dikeluarkan oleh JAKIM atau Jabatan atau Majlis Agama Islam Negeri. Bagi makanan yang dikilangkan di luar Malaysia, JAKIM tidak perlu lagi mengeluarkan sijil dan logo halal kerana pihak syarikat terbabit boleh menggunakan sijil dan logo halal yang dikeluarkan oleh Badan Islam di negara berkenaan yang diiktiraf oleh JAKIM seperti sijil halal yang dikeluarkan oleh negara Thailand. Bagi mendapatkan kelulusan sijil pengesahan halal, ianya hanya akan dikeluarkan setelah permohonan yang berkenaan diluluskan oleh Panel Pengesahan Halal. Sebarang rayuan berkaitan dengan pensijilan halal hendaklah dibuat secara bertulis kepada Ketua Pengarah JAKIM atau Pengarah Jabatan atau Majlis Agama Islam Negeri.Tempoh sahlaku bagi Sijil Pengesahan Halal ialah dua tahun dan terbatal bila-bila masa sahaja apabila didapati bercanggah dengan prosedur pensijilan halal Malaysia. Pemegang Sijil Pengesahan Halal hendaklah mengemukakan permohonan pembaharuan empat (4) bulan sebelum tamat tempoh dan mana-mana pihak yang gagal memperbaharuinya tidak dibenar menggunakan logo halal bagi premis yang dikeluarkan. Dari aspek Logo Halal, ianya mesti menepati spesifikasi yang ditetapkan, dicetak dengan terang pada setiap produk yang dikeluarkan dan dilabelkan. Bagi premis makanan, logo halal hendaklah dipamerkan di premis berkenaan dan bagi hotel ianya hendaklah dipamerkan di bahagian dapur atau di seksyen halal di restoran yang disahkan halal sahaja. Pihak syarikat walaubagaimanapun dibenarkan mencetak warna logo mengikut kesesuaian pembungkusan makanan masing-masing selagi mana tidak mengubah spesifikasi logo asal yang dikeluarkan.



Beri kebaikan kepada Rohani dan Jasmani

Mendapat keberkatan dan keredhaan Allah s.w.t

Kredit kepada Mimi Momo diatas artikel ini.